Thursday 22 September 2011

SENI CATAN




SENI LUKIS ATAU CATAN

Sejarah catan dikatakan bermula pada Zaman Yunani Purba. Gambaran yang dibuat mengisahkan aktiviti keagamaan. Media yang digunakan ialah mozek dan fresco. Pada Zaman Renaissance yang merupakan zaman kemuncak seni lukis di Eropah, media yang digunakan ialah cat minyak, cat air, fresco dan tempera. Pada abad ke-20, muncul satu aliran baharu dalam persembahan catan yang mempersembahkan karya seni abstrak dan semi abstrak. Di Malaysia, catan mula berkembang sekitar tahun 1930-an. Pelukis yang terkenal ialah Abdullah Ariff dan Yong Mun Sen yang banyak menggunakan media cat air.
Catan merupakan perbuatan meletakkan pewarna “pigment” terlarut dalam pelarut dan agen pengikat kepada permukaan seperti kertas,kanvas atau dinding. Ini dilakukan oleh seseorang yang dinamakan pelukis. Takrif ini digunakan terutamanya jika ia merupakan kerjayanya. Manusia telah melukis selama 6 kali lebih lama berbanding penggunaan tulisan.
Catan ialah proses menghasilkan seni dengan menggunakan bahan berwarna atau atau cat yang disapu ke atas sesuatu permukaan yang rata. Aktiviti catan membolehkan seseorang menyedari serta dapat merakamkan kesan cahaya pada bentuk, rupa serta susunan yang terdapat pada alam sekitar.


TEKNIK CATAN

Teknik Basah Atas Kering
Ciri-ciri
Teknik ini melibatkan sapuan warna basah ke atas permukaan kertas yang kering untuk menghasilkan kesan legap. Teknik ini banyak digunakan kerana sesuai dengan beberapa jenis media dan agak senang dikawal sapuan warnanya. Teknik ini juga boleh menggunakan warna yang basah dan disapukan ke atas lapisan warna yang telah kering bagi mendapatkan kesan lut sinar.
Campuran Warna
Campuran warna yang hendak digunakan haruslah tidak pekat dan tidak terlalu cair. Kertas hendaklah kering. Sapuan berus yang spontan adalah digalakkan.
Cara
Warna disapu ke atas kertas lukisan yang kering. Mulakan dengan lapisan yang nipis dan ditindih berperingkat-peringkat dengan ton yang semakin gelap. Untuk mendapatkan kesan transparensi, basahkan berus dan celup ke dalam warna yang cair, sapu di atas kertas lukisan. Biarkannya kering dan ulangi aktiviti yang sama.

Teknik Basah Atas Basah
Ciri-ciri
Teknik ini melibatkan sapuan warna cair ke atas permukaan kertas yang basah. Ia menghasilkan kesan lut sinar. Teknik ini merupakan teknik yang dramatik bagi media cat air dan yang paling sukar untuk dikawal sapuannya. Pelukis harus membiarkan warna terdahulu yang masih lembap. Sapuan warna berikutnya adalah lebih tinggi kandungan air dan pewarnanya. Jika tidak, warna akan bercampur dan hasilnya nampak kotor.
Campuran warna
Campuran warna hendaklah tidak terlalu pekat atau terlalu cair. Sebaik-baiknya ia harus mempunyai nilai warna yang cukup terang. Ini kerana warna cat air akan nampak kurang cerah apabila kering. Gunakan sapuan berus yang spontan.

Cara
Kertas dibasahkan dengan satu lapisan air atau warna yang cair. Warna disapukan apabila permukaan masih basah. Jika menggunakan lakaran pensel, elakkan daripada memadam garisan kerana ini akan menimbulkan kesan berbulu. Seterusnya ia akan meninggalkan kesan kering berlegap.

Teknik Berus Kering
Ciri-ciri
Teknik yang melibatkan sapuan warna terus dari tiub ke atas permukaan kertas. Teknik ini boleh juga melibatkan sapuan warna yang pekat ke atas lapisan warna yang telah kering untuk menghasilkan kesan jalinan. Ia akan memberi kesan kering berlegap.
Campuran warna
Gunakan warna terus dari tiub atau bancuhkan warna yang dikehendaki itu dahulu dengan pekat. Kertas hendaklah kering. Sebaik-baiknya, asingkan warna yang telah dibancuh.
Cara
Gunakan berus yang kering untuk mengambil warna yang telah dibancuh. Warna disapukan dengan rata pada bahagian tertentu di atas permukaan kertas yang kering. Sapukan pada bahagian tersebut satu demi satu supaya warna pada setiap bahagian tidak bercampur. Gunakan berus yang halus bagi menandakan jalinan yang halus. Jika ingin menimbulkan kesan tindihan, biarkan warna kering dahulu. Kemudian, sapukan warna yang pekat ke atas lapisan warna yang telah kering.

Teknik Kecatan
Ciri-ciri
Teknik ini melibatkan sapuan warna terus dari tiub. Kertas sentiasa basah sehingga catan selesai dibuat. Catan jenis ini memberi kesan jalinan dan kekasaran. Melalui teknik ini, catan kelihatan bebas, semula jadi dan spontan.
Campuran warna
Warna yang pekat dari tiub digunakan. Sapuan warna terus dari tiub atas kertas. Jika hendak menggunakan air, hanya gunakan sedikit sahaja.
Cara
Ambil warna terus dari tiub dan sapukan pada permukaan kertas lukisan. Campuran warna yang kedua ditindihkan di atas warna yang pertama tanpa menunggu warna itu kering. Kertas sentiasa basah sehingga catan selesai dibuat..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

SELESAIKAN....

SELESAIKAN.....